Ulama Sungai Ujung

Tuesday, August 01, 2006

Haji Zakaria Mohd Kari ( 1890 – 1953)

Haji Zakaria bin Mohd Kari juga dikenali dengan panggilan Fakih Kiak atau Tok Guru Galau. Galau adalah satu kampung tidak jauh dari pekan Seri Menanti. Beliau dari suku Tanah Datar Seri Menanti iaitu orang lingkungan Istana. Lahir tahun 1890 masihi bersamaan 1307 Hijrah.

Pendidikan

Tok Guru Galau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Menanti dan kemudiannya berguru dengan Allahyarham Haji Darun Haji Ibrahim. Bagi meluaskan ilmu pengajian agamanya, beliau mengaji pula di Patani secara memondok selama 10 tahun. Selepas itu berguru pula dengan Tuan Guru Haji Che’ Dol di Gajah Mati, Kedah Darul Aman selama 10 tahun lagi. Che Doi atau Che Dol ini nama penuhnya Haji Ismail bin Mustafa al Fathani. Beliau pengasas pondok Gajah Mati, Pendang. Gurunya ini anak murid kepada ulama terkenal iaitu Tok Wan Din al Fathani atau Syeikh Wan Muhamad Zainal Abidin yang berasal dari Kampung Sena Janjar, Pattani ( lahir tahun 1233H/ 1817 dan meninggal dunia pada 18 Zulhijjah 1325 / 21 Januari 1908). Sewaktu Tok Galau menunaikan haji antara tahun 1925 hingga 1927, Allahyarham mengambil kesempatan mengaji lagi di Mekah Al Mukarramah pula.

Mengajar

Apabila kembali ke kampung halamannya, Allahyarham ini mengajar di beberapa buah masjid dan surau sekitar Daerah Kuala Pilah. Jesteru kealiman beliau maka ada tawaran menjadi Kadhi Kuala Pilah tetapi beliau menolaknya kerana lebih selesa mencurahkan ilmunya secara bebas.

Menurut Nawawi Haji Indek iaitu penyusun bagi kisah-kisah Alim Ulama negeri ini, beliau mendapat makluman bahawa peribadi Tok Guru ini sangat mulia dan dihormati oleh masyarakat. Doa-doanya kerap dimakbulkan Allah dan terdapat tanda-tanda kesholehan atau keramatnya.

Meninggal Dunia

Tok Guru Galau meninggal dunia dalam tahun 1953 ketika berusia 63 tahun dan disemadikan di Tanah perkuburan Kampung Galau, Seri Menanti. Beliau mempunyai anak bernama Haji Yahya bin Haji Zakaria yang meninggal dunia di Mesir ketika itu masih menuntut selama 2 tahun di Universiti Al Azhar.
.
Haji Muhamad Haji Mustaffa ( 1900 – 1950 )

Pengenalan

Semasa penyusun menyusuri jalan besar Bahau – Kuala Pilah untuk menjejaki waris ulama ini di Kampung Kuala Jempol, penyusun sempat singgah menziarahi Ustaz Haji Azraie Haji Omar bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan di hari raya ketiga pada 3 Syawal 1424 bersamaan 27 November 2003 di Kampung Pauh, Kuala Jempol. Melalui beliaulah penyusun diberi panduan untuk mencari waris Tuan Haji Muhamad Mustaffa di Juasseh Pekan. Malah penyusun begitu terhutang budi kerana Haji Azraie sudi menyelongkar khazanah kitab-kitabnya untuk mencari buku lama bertajuk Alim Ulama Negeri Sembilan oleh Allahyarham Nawawi bin Haji Indek. Buku yang mungkin terlalu sukar didapati di pasaran dan melalui buku ini juga penyusun dapat mengenali dan menyaring semula riwayat tokoh-tokoh ulama negeri ini.

Selepas sholat fardhu jumaat di Masjid Juasseh Pekan, penyusun telah dibawa oleh seorang penduduk tempatan ke rumah cucu Haji Muhamad Mustaffa ini di Rumah Rakyat Juasseh. Di sana penyusun telah berkenalan dengan keluarga Hajah Zaharah bt Lebai Ismail ( 1944) iaitu cucu kepada ulama tersebut. Beliau masih ingat pergaulan dan kemesraannya dengan datuknya. Beliau sempat merakamkan ketegasan datuknya dalam mendidik keluarganya dalam ilmu agama. Haji Muhamad dikatakan cukup marah bila melihat perempuan yang tidak menutup. Datuknya dikhabarkan putih tinggi dan perwatakkan menarik.

Latar Belakang

Tuan Haji Muhamad bin Haji Mustaffa dilahirkan di Kampung Paya, Kuala Jempol dalam tahun 1900. Beliau mula bersekolah di Sekolah Melayu Kuala Jempol dari tahun 1910 hingga 1914. Kemudiannya Haji Muhamad meneruskan pengajian di Pondok Sik, Kedah dengan berguru kepada Tuan Guru Haji Yaakub Abdul Rahman selama 3 tahun. Selepas itu beliau mengaji di Malim Nawar, Perak dengan Tuan Guru Haji Muhamad Yunus Mohd Akib selama setahun. Antara tahun 1918 hingga 1922, Allahyarham belayar ke Mekah dan menuntut di sana pula.

Pulang

Sekembalinya ke Kuala Jempol, beliau terus membuka Madrasah dan pondok-pondok untuk murid-muridnya yang datang dari berbagai tempat seperti Johor, Pahang dan paling jauh dari Jambi, Sumatera. Oleh kerana ramai anak muridnya, dianggarkan sebanyak 200 buah pondok telah didirikan. Antara anak muridnya yang berjaya mengimarahkan ilmunya di negeri ini ialah Tuan Haji Abdul Majid Abdul Karim yang telah disentuh sebelum ini. Allahyarham juga mengajar orang-orang dewasa kampung di beberapa buah masjid dan surau. Beliau adalah antara ulama negeri yang sangat rapat dengan Almarhum Tuanku Abdul Rahman DYMM Dipertuan Agong Pertama dahulu.

Perbahasan

Jika kita merujuk riwayat Maulana Lebai Maadah Layang dari Kuala Pilah, kita telah dibentangkan kisah perbahasan agama di antara dua tokoh ini di Istana Besar Seri Menanti. Penyusun percaya perbahasan yang hangat ini adalah ekoran dari pertembungan golongan As Syafieyah atau dikenali Kaum Tua dengan Kaum Muda yang dipelopori oleh Maulana Lebai Maadah. Mungkin inilah perbahasan pertama antara 2 aliran di negeri ini dan di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu. Menariknya, tokoh-tokoh ini amat rapat dengan kerabat di Seri Menanti dan Almarhum Tuanku Abdul Rahman sendiri banyak menyumbangkan dana atau tanah raja untuk dijadikan tapak sekolah-sekolah agama.

Meninggal Dunia

Tuan Haji Muhamad Mustaffa meninggal dunia ketika berusia 50 tahun dalam tahun 1950. beliau dikebumikan di tanah perkuburan Padang Lalang, Kuala Jempol. Kitab-kitab pengajian madrasah beliau masih boleh dilihat di rumah anak perempuannya yang bongsu di Padang Lalang. Beliau telah mewariskan ilmu pengajian Islam kepada ratusan murid dan ketika hidupnya, suara bacaan al Qurannya boleh mengasyikan pendengar atau makmum yang bersholat dengannya.
.
Haji Muhamad Haji Itam ( 1886 – 1969)

Haji Muhamad ini dinyatakan anak seorang saudagar yang berjaya di zamannya dalam, Daerah Rembau dan Kuala Lumpur. Beliau dilahirkan di Kampung Nerasau, Rembau dalam tahun 1886. Apabila meningkat remaja, beliau pergi ke Mekah untuk menuntut ilmu agama. Akhir abad ke 19 itu, ramai anak-anak melayu belayar ke Mekah untuk mendalami ilmu agama di samping menunaikan fardhu haji. Haji Muhamad mengaji di tanah suci selama lebih kurang 12 tahun sehingga alim.

Balik Ke Tanahair

Apabila balik ke tanah Jawi lalu berguru pula dengan Allahyarham Haji Mustaffa Linggi. Pernah memegang jawatan nazir pendidikan agama di sekolah-sekolah Melayu dan lepas itu dia meletakkan jawatan atas kerelaannya sendiri. Ketika hayatnya Haji Muhamad ini bukan sahaja aktif mengajar agama di Rembau tetapi juga sampai di Kampung Pandan Kuala Lumpur. Ramai anak-anak muridnya yang berjaya termasuklah bekas kadhi Rembau bernama Haji Abbas. Dikatakan di tahun akhir hayatnya, beliau mengajar di Kampung Sega, Rantau. Antara kitab-kitab yang disampaikannya ialah Muniatul Musalli dan Sabilu Nuhtadin.

Kemarahannya

Sifat keras dan kemarahannya ialah apabila melihat orang dewasa tidak menjaga aurat. Diriwayatkan pernah beliau menghambat lelaki tua yang berseluar pendek dengan tongkatnya. Beliau juga sentiasa meneliti dan mengawasi orang luar yang datang memberi syarahan agama. Jika didapati individu tersebut tiada ilmu dan tidak mampu menjawab soalah-soalan agama yang mudah, maka beliau mengarahkan mereka membatalkan niat untuk bersyarah.

Meninggal Dunia

Allahyarham Haji Muhamad sempat berwasiat agar jenazahnya disemadikan di tanah perkuburan Ampangan, Jalan Sikamat iaitu setempat dengan Sheikh Muhamad Said Linggi kerana beliau juga ahli tarekat Ahmadiah. Beliau kembali ke rahmatullah dalam usia 83 tahun ( 1969).
Nota: Penyusun pernah dihubungi cucu kepada Haji Muhamad Itam ini melalui email/ telefon, beliau memaklumkan datuknya ini adalah sebelah ayah dan Haji Dahat( baca profil ulama ini di bawah) pula datuk kepada ibunya (sebelah bapa). Anak Haji Dahat ialah Osman Dahat. Difahamkan juga bahawa penulis buku 'Alim ulama Negeri sembilan' iaitu Allahyarham Nawawi Haji Indek dalam kerabat ulama ini.

Haji Muhamad Haji Daud ( 1887 – 1969)

Latar Belakang

Haji Muhamad bin Haji Daud[ dilahirkan dalam tahun 1887 di Kampung Tanah Datar, Rembau. Tanah Datar ialah salah satu suku dalam masyarakat adat perpatih Negeri Sembilan. Waktu kelahirannya, Luak Rembau di bawah penguasaan Dato’ Undang Sedia Raja Serun bin Sidin ( 1883 – 1905). Di Rembau, orang-orang daerah ini lebih mengenali beliau dengan panggilan “Haji Kursasi”Bapanya bernama Haji Daud dari suku Paya Kumbuh yang juga seorang ulama dalam masa hayatnya.

Pendidikan

Allahyarham Haji Kursasi ini mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Chenung, Chengkau dalam Daerah Rembau. Kemudian beliau mengaji agama dari ayahnya. Sebagaimana anak-anak muda yang dahagakan ilmu agama waktu itu, beliau turut belayar ke Mekah Al Mukarramah untuk mengaji agama selama 13 tahun. Apabila usia menjangkau 34 tahun ( kira-kira tahun 1921) barulah Haji Kursasi ini balik ke Tanah Jawi. Oleh kerana cintanya beliau kepada ilmu agama maka berguru pula ia dengan Allahyarham Haji Mustaffa Linggi sehingga ulama itu meninggal dunia pada 1927. Mungkin selama lebih enam tahun beliau berguru dengan Tuan Guru yang dianggap lubuk ilmu itu.

Bertugas

Semasa hayatnya, Haji Kursasi pernah menjawat jawatan Penolong Nadzir Agama di Sekolah Melayu sebelum bersara dalam tahun 1952. Beliau pernah juga mengajar agama di masjid dan surau-surau dalam Daerah Rembau. Antara tahun 1947 hingga 1949, Allahyarham dilantik mewakili Rembau dalam Majlis Mesyuarat Agama Islam peringkat negeri.

Meninggal Dunia

Allahyarham Haji Kursasi meninggal dunia dalam tahun 1969 ketika berusia 81 tahun. Kisah lanjut hidup ulama ini akan disajikan apabila penyusun berkesempatan mengunjungi waris-waris beliau kelak. Insyaallah.

Haji Dahat Haji Muhamad Nor ( 1844 – 1937 )

Haji Dahat bin Haji Muhamad Nor adalah ulama dari Kawasan Luak Rembau yang dilahirkan dalam tahun 1844 ( 1260H). Tidak banyak data-data riwayat hidup tokoh ini yang diperolehi setakat ini. Menurut catatan yang ada, beliau meninggal dalam usia yang agak lanjut iaitu 93 tahun pada 1937.

Pendidikan

Allahyarham Haji Dahat mendapat pendidikan agama secara pondok di Kedah. Kemudian beliau melanjutkan pengajiannya di Mekah. Apabila menunaikan haji kali kedua dalam tahun 1917, Haji Dahat dikatakan tinggal lebih lama di Mekah untuk menuntut ilmu agama[62]. Jika tahun ini diambilkira sebagai tempoh mengaji agama tentu kurang diyakini kerana usia beliau sudah 73 tahun pula. Mungkin beliau hanya bermukim untuk suatu tempoh sahaja sebelum balik ke tanahair.

Perkhidmatan

Semasa hayatnya, Allahyarham Haji Dahat suka mengajar kitab-kitab tasawuf dan usulludin. Beliau pernah ditawarkan jawatan Kadhi tetapi tidak diterimanya kerana beliau lebih selesa dan bebas untuk berdakwah atau menambah ilmu di dada. Difahamkan ramai keturunan ulama ini berjaya dalam pendidikan dan memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. ( baca profil tokoh Haji Muhamad Itam kerana ada berkaitan)
.
Haji Abdul Ghani Mohd Nor ( 1887 – 1937 )

Tempat Lahir

Allahyarham Haji Abdul Ghani Mohd Nor dilahirkan di Chengkau, Rembau dalam tahun 1887. Beliau dari suku Tanah Datar. Dikatakan pernah belajar di Sekolah Melayu Chengkau tahun 1900. Kemudian mengaji agama dengan Allahyarham Haji Mustapha Linggi selama 5 tahun.

Jawatan Kadhi

Dalam tahun 1926, beliau dilantik sebagai Kadhi Daerah Tampin. Semasa hayatnya Haji Abdul Ghani pernah juga berkerja sebagai guru agama dan mengajar agama di masjid dan surau-surau dalam Daerah Tampin. Beliau seorang pembaca Al Quran yang terkenal dan apabila ada majlis-majlis agama, beliau kerap pula dijemput untuk membaca ayat-ayat suci Al Quran dan berqasidah.

Meninggal Dunia

Allahyarham Haji Abdul Ghani meninggal dunia di Tampin dalam tahun 1937 sewaktu usianya 50 tahun.

Haji Luna Bin Haji Sidek ( 1880 – 1953)

Latar Belakang

Ulama dari Luak Jelebu ini bernama Tuan Haji Luna Bin Haji Sidek, dilahirkan di Kampung Larong, kira-kira 2 km dari Bandar Kuala Klawang. Beliau dijangkakan lahir dalam tanggal 1880 dari keturunan Dato’ Umbi Jelebu. Bersekolah Melayu peringkat awalnya sebelum merantau mencari ilmu agama jauh di Patani kira-kira tahun 1905 hingga tahun 1910.

Mengajar Agama

Sekembalinya ke Jelebu, beliau terus memberi pendidikan agama kepada masyarakat tanpa jemu dan teguh pula dalam pendirian agamanya. Banyaklah masjid dan surau-surau dalam Daerah Jelebu dikunjunginya untuk mengajar agama. Jesteru itu apabila Dato’ Undang Jelebu ketika itu ingin memberi penghargaan dan menawarkan jawatan kadhi kepadanya, Allahyarham Haji Luna menolak dengan hormat kerana pada pandangannya jawatan tersebut meletakkan beliau tertakluk kepada arahan atasan. Permintaannya supaya kuasa mutlak dalam menjalankan agama tidak diperkenankan oleh Dato’ Undang.

Haji Luna diriwayatkan adalah seorang yang cerdas pemikiran dan mempunyai sifat-sifat kepimpinan. Beliau juga memperlihatkan sikap jatidiri dan tidak suka mengharapkan pemberian orang lain. Mungkin kerana pendiriannya itulah maka beliau berusaha sendiri untuk meningkatkan taraf hidupnya sehingga berupaya memiliki berpuluh ekar kebun getah dan harta-harta lain.

Melalui titik peluhnya itu, Allahyarham mampu menghantar anak-anaknya mengaji agama di Mekah. Antara anak-anaknya itu ialah Haji Ismail, Haji Abd Latif dan Haji Abdul Rahman. Allahyarham sendiri telah menunaikan haji sebanyak dua kali dalam tahun 1920 dan 1939. Pada 20 Mac 2004, penyusun telah sempat bertanya tentang riwayat hidup keluarga Allahyarham Haji Luna dari beberapa penduduk Kuala Klawang. Dimaklumkan ketiga anak Haji Luna yang pernah menuntut di Mekah itu telah meninggal dunia.

Meninggal Dunia

Allahyarham Haji Luna meninggal dunia dalam tahun 1953 ketika usianya 73 tahun. Beliau telah mencurahkan tenaga dan ilmunya untuk anak bangsanya lebih 40 tahun dan pernah pula menjadi imam di Masjid Triang, Jelebu.

Haji Idris Bin Dato’ Udin ( 1860 – 1935)

Pengenalan

Haji Idris Bin Dato’ Umbi Udin adalah anak Jelebu dari waris Kemin. Tempat Lahirnya di Kampung Triang kira-kira tahun 1860. Bapanya seorang ketua adat dalam Luak Jelebu. Masa kecilnya seperti rakan-rakan sebaya yang lain, beliau hanya mendapat pendidikan awal dari guru rakyat zaman itu.

Mengaji Agama

Pengajian dalam bidang agama diperolehinya dari Tuan Haji Othman, seorang kadhi Jelebu waktu itu. Kemudian beliau berguru pula dengan ulama Kelantan yang datang mengajar agama di Jelebu bernama Tuan Guru Haji Abdullah ( semoga Allah melimpahi rahmat kepada guru yang berjihad dari jauh ini). Waktu itu ada ulama dari Patani dan Kelantan berdakwah ke daerah ini. Antaranya ialah Tuan Guru Haji Abdullah yang menetap lebih kurang 10 tahun di Jelebu sebelum balik semula ke Kelantan.

Kadhi Daerah

Selepas mengaji agama, Allahyarham mulalah mengajar agama kepada masyarakat setempat dalam Daerah Jelebu. Dikatakan lebih 50 tahun beliau berbakti dalam kerja agama dan pernah memegang beberapa jawatan seperti guru Al Quran dalam akhir tahun 1890an dan memegang jawatan kadhi bagi tahun 1924 hingga 1935. Allahyarham juga seorang kari yang terkenal di zamannya.

Ketegasannya

Haji Idris seorang yang kuat menjaga sholat yang diwajibkan. Beliau cukup marah jika sesiapa suka mengabaikan kewajipan tersebut. Satu kisah menarik terjadi semasa beliau diminta menjalankan upacara perkahwinan seorang gadis kampung yang ada hubungan kekeluargaan dengan beliau. Oleh kerana beliau mengetahui sangat bapa si gadis adalah seorang yang suka meninggalkan sholat, maka beliau pun enggan mengendalikan majlis akad nikah perkahwinan itu.

Bagi menghindarkan kekecuhan dan majlis tergendala, bapa gadis itu berjanji tidak meninggalkan sholat di masa akan datang. Sebaliknya beliau diminta membuktikan janjinya dengan mengambil wuduk dan bersholat dengan disaksikan oleh para hadirin dalam majlis perkahwinan itu.

Allahyarham kembali ke rahmatullah dalam usia 75 tahun ( 1935). Beliau dikatakan menunaikan haji sebanyak dua kali iaitu semasa kecil mengikut keluarganya dan dalam tahun 1935. Sewaktu mengerjakan haji kedua inilah beliau meninggal dunia di tanah suci Mekah Al Mukarramah. Kita berdoa semoga ruhnya dicucuri rahmat dan peristiwa di hari perkahwinan itu dapat memberi ikhtibar kepada para pembaca hendaknya. Amin.
.
Lebai Muhamadiah Bin Muhamad Zain (1905-1968)

Latar Belakang

Lebai Muhamadiah Bin Muhamad Zain juga dikenali Tuan Muhamadiah Kiai. Nama penuhnya ialah Muhamadiah bin Muhamad Zain bin Haji Che’ Muhamad Salleh bin Haji Che’ Mahmud bin Haji Che’ Ibrahim bin Che’ Musa. Ibunya bernama Haliah Muhamad Sholeh keturunan dari Pagar Ruyung Manakala bapanya Che’ Musa seorang China Islam dari Kuantung, tanah besar China. Beliau anak keempat dari enam adik beradik. Ketika hayatnya sangat disegani orang kerana alim dan keteguhannya dalam memegang syariat Islam.

Allahyarham ini dilahirkan dalam tahun 1905. Beliau berasal dari Kampung Jerang, Durian Tipus dalam Daerah Jelebu. Bapanya amat mengambil perhatian tentang pendidikan agama anak-anak mereka. Setelah bersekolah Melayu di kampungnya, beliau dihantar bapanya mengaji di Panchor, Temerloh di bawah didikan Tuan Guru Haji Ahmad Hurairah. Lepas itu, beliau mengaji pula dengan Allahyarham Sheikh Haji Muhamad Said Al Linggi di Seremban selama 5 tahun. Adiknya Dato’ Tan Haji Ahmad bekas kadhi Durian Tipus pernah mendapat asuhan awal darinya. Cucu beliau bernama Dr Abdul Majid bin Mohd Nasir menjadi doktor pakar hidung dan telinga di Hospital Besar Kuala Lumpur sekarang.

Ditangkap Tentera Jepun

Allahyarham pernah difitnah dan dituduh menyibarkan semangat anti Jepun di kalangan rakyat. Akibatnya beliau telah ditahan dalam sel Balai Polis Durian Tipus. Dalam masa tahanan itu, Lebai Muhamadiah menghabiskan masanya berzikir kepada Allah SWT. Wiridnya dikatakan telah mendatangkan kegerunan kepada polis Jepun yang mengawal sel tersebut dan akhirnya beliau dibebaskan. Allahyarham adalah pengamal tarekat Ahmadiah kerana pernah menuntut dengan Sheikh Muhamad Said Al Linggi. Lebai Muhamadiah juga mempunyai kelebihan yang diberikan Allah iaitu beliau boleh membaca permasalahan orang yang datang berkunjung ke rumahnya.

Allahyarham mengajar agama di banyak tempat dan pernah pula dilantik menjadi Ahli Majlis Syariah Negeri Sembilan. Allahyarham Lebai Muhamadiah meninggal dunia dalam tahun 1968 dalam usia 63 tahun.

Thursday, July 27, 2006


Sheikh Ahmad Mahktum ( 1400 - 1467 )

.
Batu Bersurat ( batu nesan) yang ditemui Kota Kempas atau Pengkalan Kempas kira-kira 150 tahun lalu membuktikan Linggi telah lama dijejaki oleh ulama dalam menyibarkan Islam di nusantara ini. Pusara Sheikh Ahmad Makhtum di Sungai Udang, Pengkalan Kempas terletak kira-kira 23km dari bandar Port Dickson. Batu ini bertarikh tahun 850 Hijrah atau bersamaan tahun 1467 Masihi iaitu zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Islam Melaka di bawah pemerintahan Kesultanan Mansor Syah. Pusara Sheikh Ahmad Makhtum ini dikatakan telah dijumpai oleh mertua Tuan Guru Lebai Abbas Zakaria ( riwayat hidup Tuan Guru ini ada dipaparkan dalam koleksi ini) ketika beliau menebang hutan untuk membuat ladang bercucuk tanam di sana. Para peneroka tanah zaman itu telah mengambil inisiatif untuk membersihkan pusara ulama ini.
.
Photo: Batu Bersurat
.
Zaman Kesultanan Melayu Melaka
.
Sheikh Ahmad Mahktum mungkin dilahirkan dalam awal tahun 1400an dan belayar ke sini untuk berdakwah dan berdagang. "Batu Bersurat" mengandungi fakta sejarah dan kegigihan ulama ini dalam menyibarkan dakwah Islamiah. Catatan sejarah menyatakan dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah, baginda melaksanakan dasar pengluasan empayar Melaka dan penyibaran agama Islam. Antara kawasan taklukan Melaka waktu itu ialah Selangor, Bernam, Perak, Pahang, Kampar, Siak Singapura, kepulauan Bentan dan sekitarnya. Para orientalis seperti Tom Pires menulis tentang kegemilangan dan dasar pengislaman baginda. Antara lain mengatakan :
.
"Baginda mengambil semua puteri yang cantik-cantik daripada saudagar-saudagar Parsi serta Keling dan menjadikan gundik baginda, mengislamkan mereka sebelum berkahwin dan mengahwinkan mereka dengan anak-anak menteri dan disertakan mas kahwin, dan adat perkahwinan berlainan kaum ( kahwin campur) tidak menghairankan di Melaka."
.
Dasar 'Marriage of convenience' yang juga bermaksud politik ini dikira mempercepatkan Islamisasi kawasan taklukan Melaka. Ini turut diakui oleh Brian Harrison (1957) tentang kecenderungan sultan dan para pedagang untuk kawin campur sebagai faktor pengembangan Islam di rantau ini. Sultan Mansur Syah turut memuliakan alim ulama dan baginda sendiri belajar ilmu agama hingga ke tahap ilmu tasawuf. Anak baginda iaitu Raja Husain dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah juga dilaporkan amat mengutamakan syiar Islam dan menumpukan masanya dalam hal ehwal masjid ( Tom Pires). Sultan Alauddin dikatakan sentiasa sibuk mengajar raja-raja dari Pahang, Kampar dan Inderagiri serta kerabat mereka mengenai Islam kerana pengetahuannya yang luas dalam agama.
Zaman Sultan Mansur inilah kerja menterjemahan kitab-kitab agama dari Arab dilakukan seperti kitab Ad Durrul Manzum karangan Maulana Abu Ishak dari Mekah. Penterjemah kitab inilah Makhdum Patakan di Pasai. Sehubungan itu, nama Makhdum atau Makhtum ini mungkin serasi atau dikenali sebagai orang alim dari tanah Arab. Ini kerana dalam "Salasilah Sulu" ada juga mencatatkan pendakwah tanah Arab bernama Karim Al Makhdum ( kemudiannya dikenali Tuan Syarif Aulia) datang ke pulauan Sulu untuk memperteguhkan Islam di sana.
.
Terdapat dakwaan juga yang mengatakan Sheikh Makhtum ini berasal dari Benua India. Kalau berdasarkan namanya, kita mungkin cenderung untuk menganggap beliau berketurunan Arab. Bagi sumber-sumber dari Sumatera pula mendakwa Sheikh Ahmad ini berasal dari Minangkabau. Nawawi Haji Indek menyatakan bahawa beliau pernah bertemu seorang tua yang telah lanjut usia ( 91 tahun) bernama Haji Hussin bin Zainuddin atau dipanggil Haji Mat Kulum, orang tua ini mendakwa ulama tersebut dari Patani kerana tulisan di batu nesannya banyak menyamai dengan tulisan di perkuburan Patani. Berdasarkan tahun di Batu Bersurat ini maka diyakini agama Islam telah tersibar di kawasan Linggi atau negeri ini amnya ketika zaman kegemilangan kesultanan Melaka.
.
Kerancakan pengajaran agama Islam hanya dapat dikesan di awal abad ke 19 sahaja ketika zaman Dato' Kelana Bahai ( 1800- 1830an) dan Dato' Muda Linggi Jeragan Abdul Rahman. Zaman itu lahirlah tokoh – tokoh ulama terkenal seperti Haji Idris bin Haji Mokmin bin Nakhoda, bapa kepada Sheikh Haji Jamaludin Idris. Keturunan dan anak murid mereka telah banyak merakamkan sejarah tentang kegigihan ulama dalam menyampaikan ilmu Islam di negeri ini.
.
Posted at 09:27 am by AfdhalMake a comment

Wednesday, July 26, 2006

Haji Darun Haji Ibrahim ( 1840 – 1949)
.
Asal Usulnya
.
Ulama ini dikatakan berasal dari Inderagiri, Sumatera. Ketika ramai orang-orang Mingkabau berhijrah ke negeri ini dalam abad ke 19, Haji Darun bin Haji Ibrahim turut menyertainya selepas mendalami ilmu agamanya di Periaman dan Padang Panjang di Bukit Tujuh Sumatera. Beliau dilahirkan dalam tahun 1840. Bapanya juga dikatakan ulama besar waktu itu. Haji Darun dinyatakan satu zaman dengan Tok Ku Luak Rembau datang dari Minangkabau. Tok Ku ini adalah sahabat karib Haji Ibrahim iaitu bapa kepada Haji Darun ini. Menurut ceritanya, Tok Ku ini berhijrah kerana menjauhkan diri dari tekanan kuasa adat di negerinya ketika itu.
.
Berhijrah
.
Haji Darun sampai ke Semenanjung Tanah Melayu dalam tahun 1880 iatu ketika usianya menjangkau 40 tahun. Beliau bermukim di Semenyih, Selangor yang turut menjadi perkampungan orang-orang Minangkabau. Selepas beberapa tahun mengajar agama di Semenyih dan kawasan sekitarnya, Almarhum Tuanku Muhamad YDP Besar menjemput ulama ini ke istana sebagai guru agama dan mengajar agama. Sebagaimana yang dimaklumi kerabat diraja Seri Menanti amat berminat dengan ilmu agama ketika itu. Salah seorang kerabat raja iaitu Tunku Besar Burhanudin belajar agama dari ulama ini sehingga dikatakan alim pula. Beliau turut mengajar agama di serata Daerah Kuala Pilah. Ramai anak-anak muridnya ternama dan alim seperti Haji Zakaria @ Tok Guru Galau dan Allahyarham Kadhi Haji Sulaiman Seri Menanti.
.
Dalam masa hayatnya, ulama berjasa ini telah empat kali menunaikan haji dan mengajar di sana selama setahun. Kali terakhir beliau menunaikan haji dalam tahun 1934. Beliau juga ada balik ke Inderagiri beberapa kali menziarahi sanak saudaranya. Haji Darun ini dikatakan mempunyai karamah tertentu dan sangat dihormati oleh kerabat diraja dan penduduk negeri ini.
.
Meninggal Dunia
.
Setelah berbakti dalam bidang agama dan dakwah, beliau mengakhiri hayatnya dalam usia 109 tahun dalam tahun 1949 dan disemadikan di Seri Menanti. Orang alim ini meninggalkan sebuah kitab tasawuf bertulis tangan setebal 1000 muka yang dikarang oleh bapanya Haji Ibrahim. Dikatakan kitab ini telah berusia lebih 180 tahun ( jika dikira sehingga tahun 2003). Kitab bersejarah itu ada dalam simpanan anaknya Tuan Haji Abdul Latiff ( mengikut catatan Sdr Nawawi Haji Indek dalam tahun 1971).
.
Pada 21 Februari 2005, penyusun berjaya mengesan cucunya bernama Puan Norzie Abdul Latif di Kuala Lumpur dan sempat berbual mengenai datuk dan bapanya. Beliau sekeluarga masih mencari kitab tasawuf tersebut selepas peninggalan bapanya.Menurut Norzie, bapanya Haji Abdul Latif juga seorang guru agama yang aktif masa hidupnya dan telah mendapat asuhan secara langsung dari bapanya. Beliau juga dikatakan mempunyai kelebihan berbentuk zahiriah sebagaimana yang dilihat sendiri oleh anak-anaknya.

Posted at 09:55 am by AfdhalComment (1)

Haji Ahmad Zain Dagang ( 1866 – 1959)

Asal Usul

Ulama ini berasal dari kawasan Mandailing, Sumatera. Dilahirkan dalam anggaran tahun 1866. Beliau belayar menyemberangi laut Selat Melaka untuk mengaji agama di Pondok Langgak ( Langgar ?) Kedah. Di sana beliau mengaji dengan Tuan Guru Haji Shaari Langgak selama 7 tahun.
'
Berkampung
.
Ketika di Kedah, beliau berkawan rapat dengan Lebai Yatim bin Selat anak tempatan Johol. Lebai ini telah memperlawa Haji Ahmad supaya datang ke Johol dan akhirnya beliau bertemu jodoh. Dikhabarkan bahawa beliau tidak pernah balik ke kampung halamannya sejak datang ke Tanah Melayu. Di sinilah beliau berkampung sehingga akhir hayatnya.
.
Mengajar
.
Haji Ahmad Dagang mendapat tauliah mengajar agama bagi masjid-masjid dan surau sekitar Kuala Pilah dan Daerah Tampin dari Undang Johol Dato' Wan Omar yang menjawat jawatan itu tahun 1901 hingga 1918. Di Segamat pula beliau mendapat tauliah dari Sultan Johor.
.
Meninggal Dunia
.
Beliau meninggal dunia ketika berumur 93 tahun ( 1959) di Johol. Kampung tempat beliau menyemenda ( berkahwin dengan gadis tempatan) ialah Kampung Paya. Menurut riwayatnya, beliau masih bertutur loghat Mandailing walaupun telah lama tinggal di Negeri sembilan.

Posted at 09:51 am by AfdhalComment (1)
.
Haji Abdul Majid Haji Ibrahim ( 1850 – 1909)
.
Dalam zaman Undang Luak Johol ke 7 iaitu Dato' Saeto yang memegang kuasa dalam 1840 – 1901 lahir seorang anak lelaki pada tanggal 1850an di Kampung Gubah, Masjid Tua Johol. Anak ini dinamakan Abdul Majid bin Haji Ibrahim. Mengikut kisahnya beliau telah pergi ke Kota Bahru untuk mendalami pengajian agama di sana secara memondok selama 8 tahun. Tidak diketahui pula dengan siapa dan di mana pondok beliau berguru. Kemudiannya beliau belayar pula ke Mekah dalam tahun 1888 dan meneruskan pengajiannya selama 12 tahun pula. Jika dalam tempoh ini, pastinya beliau sezaman dengan beberapa tokoh ulama terkenal negeri ini seperti Haji Mustaffa Haji Ahmad Al Linggi, Sheikh Haji Muhamad Said dan diluar pula seperti Tok kenali, Tok Senggora dan Tok Kemuning dari kelantan.
.
Zaman akhir abad ke 19, ramai penuntut-penuntut agama dari Tanah Jawi berkampung di Mekah mengaji agama.Balik KampungApabila kembali ke tanahairnya awal tahun 1900an, Haji Abdul Majid mula mengerjakan kegiatan dakwah dan membuka pondok pengajian di Kampung Eyor, Air Mawang Johol. Seperti ulama lain zaman itu, tugas mereka begitu berat untuk mendidik dan membenteras perbuatan khurafat atau bidaah yang menyelubungi masyarakat waktu itu. Allahyarham Haji Abdul Majid juga mengajar di masjid dan surau - surau dalam mukim Johol.
.
Kitab-kitab yang kerap diajarkannya ialah seperti Darul Samin, Darul Napis dan lain-lain lagi. Pengajarannya telah membuka minda penduduk untuk menghayati agama dan jasanya masih diingati hingga sekarang. Beliau meninggal dunia dalam tahun 1909 ketika berumur 60 tahun. Menantu beliau bernama Haji Mustaffa Haji Ahmad seorang ulama terbilang di Linggi meneruskan perjuangannya bagi penyibaran ilmu agama. ( baca riwayat hidupnya dalam segmen Ulama Luak Sungai Ujung).

Posted at 09:48 am by Afdhal

Tuesday, April 18, 2006

Kerabat Syeikh Haji Mohd Said Al Linggi

LEBAI ABBAS ZAKARIA ( 1862 – 1926 )

Pengenalan

Lebai ini dilahirkan dalam tahun 1862 ( 1279H) dari keturunan Dato' Muda Linggi. Orangnya dikatakan bijak dan mudah menerima pelajaran. Nama penuhnya ialah Abbas bin Zakaria. Dia belajar agama dengan Tuan Sheikh Haji Jamaluddin Haji Idris dan juga dengan anaknya Sheikh Muhamad Said. Walaupun, Lebai lebih tua dari Sheikh Muhamad Said tetapi itu tidak menghalang beliau untuk menuntut ilmu. Allahyarham Lebai Abbas juga tidak segan mendapatkan ilmu dari Haji Mustaffa Haji Ahmad yang telah ke Mekah menuntut ilmu selama 23 tahun.
.
Membuka Sekolah
Lebai Abbas sebelum itu dikenali sebagai Cikgu Abbas kerana dia telah membuka Sekolah Melayu Linggi dalam tahun 1880an, sekolah ini dikelolakan sepenuhnya oleh orang ramai ketika itu. Dalam menguruskan sekolah, beliau juga mendalami ilmu agama dari tokoh-tokoh ulama sekampungnya. Akhirnya, Lebai Abbas menjadi alim dan sempat mengajar agama pula di beberapa buah masjid dan surau dalam Luak Sungai Ujung.
.
Meninggal Dunia
Lebai Abbas meninggal dunia ketika usianya 64 tahun dalam bulan Disember 1926 bersamaan J'akhir 1345. Nama beliau masih disebut orang lantaran jasanya dalam memberi pendidikan dan dakwah kepada masyarakat. Semoga Allah SWT jua memberi rahmat dan kedudukan yang baik ke atas ruhnya. Amin.
.
Posted at 09:24 am by AfdhalMake a comment
.

HAJI MUSTAFA HAJI AHMAD ( 1866 – 1927 )
.
Ulama ini adalah anak jati Luak Sungai Ujung yang terbilang dalam dakwah Islamiah di akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Beliau dilahirkan di Linggi dalam tahun 1866( 1283H) dan sejak kecilnya telah menunjukkan kecerdasan akalnya. Nama penuhnya ialah Mustafa bin Haji Ahmad.
.
Mengaji Di Mekah
Haji Mustafa belayar ke Mekah Al Mukarramah dan mengaji selama 23 tahun. Oleh kerana datuknya seorang yang berada iaitu Dato' Muda Linggi Haji Mohd Peral maka segala perbelanjaannya di sana ditanggung sepenuhnya oleh datuknya. Peluang di sana tidak disia-siakan, beliau benar-benar menimba ilmu dan akhirnya diibaratkan sebagai lubuk ilmu apabila pulang ke tanahair.
.
Berjalan kaki
Diriwayatkan ulama ini sanggup berjalan kaki berbatu-batu jauhnya untuk mengajar agama dan berdakwah. Perhubungan jalan raya yang sukar dan kekurangan kenderaan waktu itu tidak melemahkan jihadnya untuk mengimarahkan ilmu di dada. Banyaklah masjid dan surau-surau yang menjadi madrasahnya menyampaikan ilmu dalam negeri ini. Mungkin jodohnya apabila berdakwah di Johol, beliau berkahwin dengan anak seorang ulama yang juga terkenal iaitu Haji Abdul Majid Haji Ibrahim. Beliau dianugerahkan dua orang cahaya mata. Seorang anaknya telah mewarisi jejaknya menjadi pendakwah dan pernah belajar agama di India. Penyusun buku Alim Ulama Negeri Sembilan, Nawawi Haji Indek menyatakan bahawa beliau pernah melihat sendiri lebih 500 buah kitab yang pernah digunakan oleh Ulama ini ketika hidupnya.
.
Kembali Ke Rahmatullah
Allahyarham Haji Mustafa meninggal dunia dalam bulan Febuari 1927 bersamaan tahun Rajab 1345 Hijrah. Nawawi Haji Indek sempat merakamkan dalam bukunya, Sheikh Haji Ahmad Haji Muhamad Said telah menyatakan kesedihan dan kepiluan hatinya apabila mengenang kembalinya tiga ulama dalam awal abad ke 20 itu dalam madahnya ( terjemahan dari Bahasa Arab) :
.
Sesungguhnya telah hilanglah fikiran dalam peringatan
Ketika didengar kehilangan tiga orang pahlawan handalan
Mulanya yang dikasihi Tuhan, ayahanda kami yang bersih ditimpa
Dan bapa saudara kami Abbas dan kemudiannya Mustaffa
Berpindah mereka ke dalam rahmat yang bercucuran
Bertempat mereka di dalam syurga yang berkekalan.
.
Posted at 09:21 am by AfdhalMake a comment
.
Sheikh Haji Ahmad Haji Muhamad Said ( 1912 – 1964 )
.
Sheikh Haji Ahmad adalah adik kepada Sheikh Haji Abdullah. Beliau dilahirkan di Kampung Bukit Ampangan Seremban pada 26 Rabiulawal 1328 bersamaan 1912 dan meninggal dunia pada 7 Januari 1964. tetapi dalam buku keluaran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu kelantan bertajuk " Tokoh – Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1) – 2001 halaman 236, tarikh lahir ulama ini ialah 6 April 1910. Haji Ahmad menjadi Khalifah Tarekat Kedua selepas Haji Abdullah.Pendidikan Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Ampangan hingga tamat. Sebagaimana abangnya, beliau kemudiannya mendapat didikan langsung dari bapanya. Beliau menunaikan haji sewaktu berusia 15 tahun selepas kematian bapanya dan melanjutkan pengajian agama di Mekah selama 7 tahun.
.
Kalau mengikut tempoh ke Mekah itu, memberi gambaran bahawa beliau lebih dahulu menunaikan haji dan melanjutkan pengajianya berbanding Haji Abdullah. Di Mekah, Haji Ahmad berguru dengan beberapa ulama terkenal seperti Sheikh Ali Al Maliki, Sheikh Abd Sattar Al Kutubi, Sheikh Said Al Yamani dan Sheikh Abdul Hai Al Kattani. Beliau seorang penuntut yang sangat tekun belajar dan dikasihi guru-gurunya. Sebagai tanda kecemerlangan beliau, guru-gurunya telah memberi Akuan ( Ijazah) kepada Haji Ahmad ini. Sekembalinya ke tanahair tahun 1934 beliau mendirikan madrasah yang dinamakan As Saidiah di Rasah. Ramai ulama negeri ini yang mendapat asuhan agama dari beliau. Antaranya ialah Tuan Guru Haji Ali Silau dan Dato' Tan Haji Ahmad Muhamad Zain. Sheikh Ahmad ini sepertimana Allahyarham bapanya turut menguasai ilmu agama dalam bidang-bidang seperti Usulludin, syariah, tasawuf, nahu-saraf, falak dan pemegang khalifah tarekat Ahmadiah.
.
Lantikan Sebagai Mufti
.
Apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan ditubuhkan, beliau telah dilantik sebagai Mufti Kerajaan yang pertama dan selalu diutamakan dalam majlis-majlis rasmi negara yang diadakan di Istana Negara Negara Kuala Lumpur, ini mungkin kerana Yang Dipertuan Agong Pertama ketika itu ialah dari Negeri Sembilan. Tambahan pula Tuanku Abdul Rahman amat rapat dengan keluarga Sheikh ini.Atas khidmat cemerlangnya, Negara telah mengurniakan bintang Ahli Mangku Negara dan negeri pula mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian kepada Allahyarham. Maklumat lanjut ulama ini boleh dilayari laman web Mufti Negeri Sembilan.
.
Hasil Karangan
.
Difahamkan Sheikh Haji Ahmad banyak mengarang buku-buku dan risalah keagamaan. Antaranya ialah kitab Tuhfatul Autan, Safinatul Salamah, Kaifiat Sholat Tarawih, Al Kaulul Wafi, Firaidul Maksir, Kanzul Muiz, wirid-wirid tarekat Ahmadiah dan teks khutbah untuk masjid-masjid negeri ini.
.
Meninggal Dunia
.
Pada 7 Januari 1964 ( 21 Shaaban 1383) jam dua petang ( Selasa), Haji Ahmad ini menghembuskan nafas terakhirnya ketika masih menjawat jawatan Mufti. Beliau dikebumikan di samping makam bapanya dalam usia 52 tahun. Beliau telah meninggalkan beberapa anak turut berjasa kepada agama seperti Mufti Dato' Mufti Negeri Sembilan, Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad, beliau adalah pemegang Khalifah Tarekat Ahmadiah sekarang. Manakala adiknya Syeikh Faiz merupakan tokoh ulama yang disegani dan pernah menuntut di Mesir dalam tempoh waktu yang lama. Mereka ini menjadi rujukan dan guru tarekat di negeri ini.
.
Posted at 09:18 am by AfdhalMake a comment
.
Sheikh Haji Abdullah Haji Muhamad Said ( 1905 – 1956 )
.
Beliau adalah antara anak-anak Sheikh Haji Muhamad Said menjadi khalifah Tarekat Ahmadiah dan alim selepas bapanya. Dilahirkan pada tanggal 1905 di rumah kaum kerabatnya di Jalan Melayu, Kuala Lumpur ( mungkin di kawasan perniagaan terkenal sekitar Masjid India sekarang). Ibunya orang Rembau bernama Siti Zubaidah Haji Said. Masa kecilnya beliau tinggal di Bukit Tembok, Seremban dan bersekolah di Sekolah Melayu Temiang dan meneruskan pendidikan agama dengan asuhan bapanya sendiri selama 12 tahun. Sheikh ini telah menerima Khalifah Tarekat dari bapanya.
.
Allahyarham menunaikan haji dalam tahun 1930. Beliau sempat berguru dengan Sidi Abu Abbas bin Sidi Muhamad bin Ahmad Al Dandarawi yang terkenal itu. Apabila balik ke tanahair, beliau mula mengajar agama dengan membuka pondok. Anak-anak muridnya yang tinggal di pondok dalam satu masa dianggarkan 70 orang, mereka datang dari serata negeri ini dan juga dari Selangor. Di samping itu, beliau turut aktif mengajar di masjid-masjid dan suraunya di Ampangan. Tuan Haji Muhamad Mustaffa yang turut disentuh dalam senarai ulama negeri ini adalah sahabat karib Sheikh ini.
.
Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Agong Pertama itu turut berguru dengan Sheikh Haji Abdullah. Jesteru itu kita melihat dalam era pemerintahan baginda, kecenderungan untuk menghayati agama begitu menonjol misalnya baginda perkenan menjadikan Balai Istana Seri Menanti dijadikan tempat perbahasan agama di antara Maulana Lebai Maadah bin Layang dengan Tuan Haji Muhamad Mustaffa ( kedua tokoh ini turut dirakamkan dalam koleksi ini) dan majlis itu dipengerusikan oleh Tengku Burhanuddin kerabat Diraja ketika itu. Baginda juga dilaporkan turut membiayai penubuhan Madrasah Aliah Islamiah Kuala Pilah yang ditubuhkan oleh Lebai Maadah.
.
Tuanku Abdul Rahman telah memberi tauliah mengajar agama dan membawa Tarekat Ahmadiah kepada syeikh ini. Miskipun begitu, beliau telah menolak sebarang jawatan agama yang ditawarkan kepadanya. Allahyarham sangat dihormati oleh masyarakat dan sebagai pemimpin tarekat yang sholeh dan berbudi luhor. Beliau suka berterus terang dalam menyampaikan dakwah dan ikhlas menolong orang-orang yang susah. Dikatakan bila ada orang-orang yang suka melakukan perkara-perkara yang mungkar, beliau akan memberi nasihat dan teguran supaya mereka bertaubat.Allahyarham Sheikh Haji Abdullah meninggal ketika usianya 51 tahun dalam tahun 1956. kehilangannya begitu dirasai oleh penduduk negeri ini kerana dikatakan ia dianggap pakar rujuk dan doa-doanya kerap kali pula diperkenan oleh Allah SWT.
Posted at 09:16 am by Afdhal
.
Sheikh Haji Muhamad Said Jamaluddin ( 1875 – 1926 )
.
Nama penuhnya tokoh besar ini ialah Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin. Beliau adalah anak Tuan Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris bin Haji Mokmin bin Nakhoda. Ibunya Hajah Safiah Haji Muhamad Saleh Al Fatani berasal dari Patani, seorang pembaca Al Quran yang terkenal dan pernah menjadi guru qiraati semasa di Mekah. Datuknya Haji Muhamad Saleh juga seorang ulama terkenal dan berkahwin dengan Mariam, anak kepada ulama Sheikh Abdul Rashid Al Fatani.
.
Tempat Lahir
.
Allahyarham ini dilahirkan di Kota Mekah di Kampung Shaab Ali atau disebut juga Syi'b Ali pada hari Sabtu 4 Syaaban 1292H bersamaan 25 atau 18 September 1871( kiraan penyusun) tetapi catatan Nawawi Haji Indek dalam tahun 1873 dan Ismail Che Daud pada 1875. kemudiannya beliau dibawa balik ke Patani dalam tahun 1882 ketika berusia 7 tahun. Di sana Muhamad Said dipelihara oleh ibu dan neneknya ( Mariam).
.
Pendidikan
.
Tokoh yang kita bicarakan ini memang bertuah kerana dilahirkan dalam rumah tangga orang-orang alim. Ibunya adalah pendidik awal kepada Muhamad Said hingga berjaya membentuk jiwanya berkeperibadian luhur dan mulia. Selepas itu dia mula berguru dengan beberapa ulama di Patani seperti Sheikh Zainal Abidin Muhamad ( Tuan Minal), Haji Awang @ Dato' Semela, Dato' Nahu dan Sheikh Muhamad Nuh dari Kedah. Kecerdasan dan ketekunannya dalam menuntut ilmu begitu terserlah.
.
Diriwayatkan apabila usianya menjangkau 17 tahun, beliau pun belayarlah ke Mekah Al Mukarramah tempat ianya dilahirkan. Di Mekah, Muhamad Said menuntut ilmu agama kepada lebih 50 orang guru. Antara guru-gurunya ialah Sheikh Muhamad Sulaiman, Hasbullah al Maliki, Muhamad Nawawi al Batani dan ramai lagi. Beliau juga sempat berguru dengan Sheikh Jafar al Barzanji di Madinah. Ketika di Al Azhar pula, beliau mengaji dengan Sheikhul Azhar ketika itu Sheikh Al Ambabei dan Sheikh Ahmad Al Rifa'i Al Maliki dalam tahun 1896.
.
Sekembalinya beliau ke Mekah, dia telah mengambil tarekat dengan Sheikh Muhamad bin Ahmad Al Dandarawi dan mendapat ijazah Tarekat Ahmadiah pada tahun 1318 Hijrah ( 1901). Beliau dikatakan alim dalam ilmu alat, usulludin, fiqh 4 mazhab, ilmu rohani, hikmat, falsafah dan lain-lain lagi.
.
Balik Ke Tanahair
.
Terdapat perbezaan tarikh jangkaan beliau balik ke tanahair. Dalam catatan Ismail Che Daud dinyatakan beliau kembali sekitar tahun 1902/ 1320 H. Bagi Nawawi Hj Indek pula pada tahun 1900 sewaktu ia berusia 27 tahun. Beliau telah menetap di Ampangan, Seremban dan mula mengajar agama serta menyibarkan tarekat Ahmadiah. Sheikh Haji Muhamad Said adalah khalifah atau wakil peribadi Sheikh Muhamad Al Dandarawi bagi kepulauan Melayu atau tanah Jawi. Pondoknya dibina di Ampangan, Seremban. Pondok ini dikatakan yang pertama diwujudkan di negeri ini dan ramai murid-murid dari serata tempat dalam Negeri Sembilan dan luar datang memondok di sana. Selain dari itu beliau juga keluar memberi kuliah di masjid dan surau.
.
Dalam menjalankan kerja dakwah dan mengajar agama kepada anak bangsanya, beliau terpaksa menghadapi mehnah dan tribulasi sebagai daie. Apatah lagi ketika suasana negeri masih terjajah dan serba mundur yang menyebabkan peluang mendapatkan pendidikan khasnya ilmu agama amat terbatas. Kedudukan kawasan penempatan yang sukar dihubungi, jauh dan tiada tokoh-tokoh agama memimpin boleh menyebabkan budaya khurafat, bidaah dan adat-adat menyalahi syariat berleluasa. Kita amat bersyukur apabila ada ulama yang tampil membawa suluh memimpin ummah dari dahulu hingga sekarang. Ramai kalangan orang-orang alim waktu itu membuka kelas pengajian agama atau membina pondok untuk mendidik anak bangsa dengan ilmu agama. Muhamad Said turut mengikuti jejak langkah bapanya Sheikh Jamaluddin Haji Idris dengan membuka pondok pengajian.
.
Beliau juga merantau banyak tempat seperti di Indo China, Siam, Kedah, Pahang, Singapura dan Kelantan dalam kegiatan dakwah disamping menyibarkan tarekat Ahmadiahnya. Difahamkan ada sebuah masjid yang diasaskan oleh Sheikh Muhamad Said di Bangkok dan beliau turut mengislamkan seorang Raja Siam. Kisah menarik raja menganut Islam ini bermula apabila raja tersebut bermimpi bertemu seorang yang mulia yang mukanya berseri-seri. Baginda telah memanggil seorang sami besar untuk mentafsirkan mimpinya. Sami tersebut menyarankan supaya baginda bertanya kepada seorang alim Islam yang menurut pandangannya akan datang ke negeri itu. Sheikh Muhamad Said dalam perjalanan dakwahnya ke Siam telah dijemput ke istana dan dipendekkan cerita, beliau telah mentafsirkan lelaki mulia dalam mimpi raja itu ialah Rasulullah SAW. Selepas itulah raja itu diislamkan oleh Sheikh Muhamad Said.
.
Pernah berlaku di Kelantan dalam tahun 1905, berlaku kegemparan kalangan rakyat negeri lantaran pembawaan Tarekat Ahmadiah cara Sheikh Muhamad Said. Kaedah zikir tarekatnya boleh menimbulkan keasyikan atau seakan mabuk. Ramai ulama tempatan menentang gaya ini. Ekoran dari kegemparan ini Sultan Kelantan ketika itu telah menulis surat bertarikh 12 November 1905 kepada tokoh ulama Kelantan yang bermukim di Mekah iaitu Wan Ahmad Haji Wan Din ( Wan Muhamad Zainal Abidin) untuk mendapat penjelasan atas kegemparan tersebut.
.
Sheikh ini juga dianggap pembenteng aliran kaum tua kerana beliau tidak memberi tempat kepada pengaruh kaum muda atau lebih dikenali Wahabi itu meluaskan pengaruhnya di negeri ini. Malah dalam manakib Sheikh Muhamad Said Al Linggi ada menyatakan pandangan dan bidasan beliau yang keras terhadap aliran ini. Walau bagaimanapun, penyusun tidak berhasrat untuk menyentuh perbezaan pendapat aliran-aliran tersebut di ruangan ini kerana beberapa tokoh dalam bibliografi ini ada juga kalangan ulama aliran kaum muda yang mempunyai peranan besar dalam meninggikan syiar Islam di negeri ini. Kita berdoa agar ulama yang berjasa besar tersebut mendapat limpahan rahmah dari Allah SWT jua.
.
Perkahwinan
.
Sheikh Muhamad Said ketika di Kelantan menetap di rumah mertuanya Haji Awang Alim di Kota Bharu. Beliau berkahwin dengan Hajah Safiah Haji Awang semasa di Mekah lagi. Menurut riwayatnya, Sheikh Muhamad Said pernah berkahwin sebanyak 9 kali dan mempunyai anak seramai 32 orang. Zuriatnya ramai menjadi tokoh-tokoh agama yang disegani sehingga sekarang. Umum telah mengetahui bahawa tokoh ini amat warak dan dianggap sebagai wali Allah lantaran beberapa kelebihan semasa hidupnya. Orangnya berkeperibadian sederhana, zuhud, kuat beribadah dan suka menolong orang susah. Dikatakan Almarhum Tuanku Muhamad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ( 1888 – 1933 ) dan Dato' Kelana Ma'mur ( 1889 – 1945 ) sangat menghormati dan mengasihi Sheikh ini. Malah pernah ditawarkan jawatan kadhi tetapi beliau menolaknya. Semasa hayatnya, ulama terbilang ini kerap menjadi rujukan dalam permasalahan agama. Beliau juga banyak meninggalkan hasil tangan berupa kitab-kitab seperti berikut:
.
1. Syarh Kunuz al Jawahir al Nuraniyat Fi Qawaid al Tariqat al Shadhiliyah ( 1905).
2. Al Ahzab al 'Irfaniyyat Wa al Awrad al Nuraniyah ( 1905).
3. Kashf al Ghiba an Haqiqat al iba.
4. Risalah Fath.
5. Sullam al Ta'rif ila 'llm al Tasrif.
6. Manuskrip Syair Arab, berkaitan kupasan tentang permasalahan golongan Wahabi.
.
Meninggal Dunia
.
Pada 12 R'awal 1345 bersamaan 20 September 1926, Ulama terbilang ini menghembuskan nafas terakhirnya. Jasadnya dihantar ke tanah perkuburan berhampiran Kebun Bunga Seremban oleh ribuan anak muridnya termasuk Almarhum Tuanku Muhamad sendiri.
.
Kunjungi juga web blog http://ulama.blogspot.com/2005/03/syeikh-muhammad-said-linggi.html Posted at 09:13 am by AfdhalMake a comment
.
Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris ( 1814– 1887 )
.
Dalam tahun hijrah 1231 bersamaan tahun masihi 1814, lahirlah seorang anak lelaki yang kemudiannya terkenal dengan nama Tuan Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris bin Haji Mokmin bin Nakhoda. Sesetengah orang memanggilnya Sheikh Indin, nasab keturunan sebelah bapanya sampai kepada Daeng Kemboja anak Raja Bugis yang bermukim di Linggi ( sebelum itu dikenali Kuala Penagim).
.
Dijangkakan Daeng Kemboja berada di Linggi antara tahun 1753 – 1759 kerana menempatkan angkatan tenteranya untuk menyerang penjajah Belanda di Melaka. Bapanya Haji Idris anak kepada Hajjah Rahimah binti Khatib Musa bin Amaludin bin Awaludin @ Dato' Awal bin Faqih @ Daeng Abdul Malik adalah seorang alim yang hampir separuh umurnya berada di tanah suci Mekah Al Mukarramah kerana menuntut ilmu. Haji Idris dikatakan keturunan Minangkabau- Bugis – Linggi. Isteri Khatib bernama Zalikha anak kepada pembesar Kampung Semabuk, Minangkabau. Awaludin pula dikatakan sebagai peneroka Daerah Linggi ( 1783) Negeri Sembilan. Suami Hajah Rahimah iaitu Haji Abdul Mu'min Linggi bin Sheikh Muhamad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah berasal dari Hadramaut, bertali nasab pula sampai kepada Saidina Abdullah bin Abas, sepupu Rasulullah s.a.w.
.
Sheikh Jamaludin dibawa bapanya ke Mekah dan mengaji di sana. Beliau diberi kepercayaan untuk mengajar di Masjidil Haram. Di tanah suci itu beliau berkahwin dengan Hajah Safiah binti Haji Mohd Saleh. Isterinya dikatakan seorang pembaca al Quran yang baik bacaannya dan pernah menjadi guru Qira'at al Quran di Mekah.
.
Sheikh Jamaludin balik ke tanahair dalam masa pemerintahan Dato' Luak Kelana Sendeng dalam tahun 1850 – 1872. Dalam zaman Dato' Kelana Syed Abdul Rahman dalam tahun 1872 – 1881 berbagai peristiwa berlaku dalam politik negeri dan permasalahan agama. Dalam tahun 1880 Lukut telah diserahkan semula oleh Selangor. Kepercayaan khurafat dan tahyul juga begitu menebal di kalangan masyarakat setempat.
.
Sheikh Jamaludin berpegang teguh dalam hukum agama dan berani menyampaikan dakwahnya walaupun kadangkala bertentangan dengan Dato' Kelana. Satu tindakan bijaknya ialah membenteras buta huruf dalam masyarakat. Melalui tindakan ini ramailah penduduk yang boleh membaca dan menulis jawi serta memudahkan pengajian agama disampaikan. Pendidikan agama yang dititik beratkan terlebih dahulu ialah pelajaran fardhu ain.
.
Antara murid-murid yang alim hasil dari tarbiah secara langsung dari tokoh ini ialah anaknya sendiri Sheikh Haji Muhamad Said, anak saudaranya Lebai Abbas Zakaria dan Haji Mustaffa Haji Ahmad. Orang alim ini kembali ke Rahmatullah dalam tahun 1304 Hijrah kira-kira tahun 1887 Masihi ketika berusia 73 tahun. Beliau dimakamkan di Linggi.
.
Posted at 09:09 am by Afdhal

DATO' HAJI HASAN BIN SAIL - MUFTI KEDUA NEGERI SEMBILAN

Dato' Haji Abu Hasan bin Haji Sail – dilahirkan pada 6 Ogos 1922 di Kg. Pulau Bukit Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan pulau Besar Rembau, Negeri Sembilan dari tahun 1929 hingga tahun 1933. Kemudian beliau menyambung pelajarannya di Madrasah al-Sa‘idiyyah Kg. Pondok, Rasah dibawah pimpinan allahyarham Sheikh Haji Ahmad.
.
Di madrasah ini beliau menimba ilmu-ilmu seperti Tauhid, Feqah, Tasawwuf, Tafsir, Hadith, Tajwid dan Tahfiz al-Quran. Tidak ketinggalan juga beliau diajarkan Ilmu Bahasa Arab seperti Nahu, Balaghah, Saraf, Nusus, Imla' dan Bayan. Tarbiyah yang diterima oleh beliau di Madrasah ini merupakan sebagai permulaan sebagai ulama' tempatan. Pada tahun 1937 beliau berangkat ke Timur Tengah untuk menyambung pelajarannya sehingga tahun 1945.
.
Semasa pengajiannya beliau tergolong bersama pelajar yang pintar dan mempunyai daya ingatan yang kuat. Tidak hairanlah sekembali beliau ke tanah air Kerajaan Negeri Sembilan telah melantik beliau memegang beberapa jawatan penting di negeri ini. Antara jawatan yang pernah beliau sandang ialah :

• Mudir Sekolah Agama Menengah Tinggi Seri Menanti, Kuala Pilah (1959 – 1961)
• Kadhi Besar Negeri Sembilan yang Pertama (1961 – 1969)
• Pemangku Mufti Kerajaan Negeri Sembilan (1963 – 1969)
• Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang kedua (1969 – 1987)

Penghormatan masyarakat sekitar terhadap beliau terlalu tinggi, beliau dikenali sebagai ulama' yang tidak pernah membezakan taraf seseorang. Beliau juga dikenali seorang yang pendiam, tidak banyak bercakap dan bercakap jika dirasakan perlu. Sikap beliau yang demikian menyebabkan orang lain terpaksa berhati-hati apabila hendak berbual atau bergurau dengannya. Sepanjang beliau menjadi Mufti Kerajaan Negeri beliau sentiasa berlembut dalam memberi nasihat kepada pemerintah. Sikap seperti ini jauh berbeza dengan arwah gurunya Sheikh Haji Ahmad yang sentiasa tegas.
.
Kewibawaan dan ketokohan beliau dalam perkhidmatan membuatkan beliau menjawat dalam jawatan ini selama 18 tahun. Beliau kembali ke rahmatullah pada 10 Zulkaedah 1414H/1993M.
Dikemaskini ( Wednesday, 07 June 2006 )